BERAKAS, RABU, 06 DISEMBER 2023 – Seramai 1,902 graduan yang mengikuti pelbagai program latihan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah diraikan hari ini pada Majlis Konvokesyen IBTE Kali Ke-31.

Daripada jumlah berkenaan, 62 orang graduan terdiri daripada pelatih Akademi TVET, 70 orang graduan dari peringkat Diploma, 972 orang graduan dari peringkat Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknik (HNTec), 380 orang graduan dari peringkat Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknik (NTec) dan 418 orang graduan dari peringkat Sijil Kemahiran Kelayakan Perindustrian (ISQ).

Majlis pada hari ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi dan sesi petang, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan bagi sesi pagi ialah Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE.

Majlis bagi sesi pagi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Mohd Redhuan bin Haji Marjuki, Pegawai Hal Ehwal Masjid Kg Kilanas, dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran daripada pelajar IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Awang Muhammad Sakhwai bin Saiful.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Dr. Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif IBTE. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil kepada para graduan dari Akademi TVET, peringkat Diploma dan peringkat HNTec. Sejurus selepas itu, tetamu kehormat majlis turut menyampaikan Anugerah Best Teacher Trainee, Anugerah Academic Excellence, Anugerah STARS Excellence dan Anugerah Chinese Ambassador kepada graduan-graduan yang terpilih.

Anugerah Chinese Ambassador merupakan anugerah yang diberikan khusus bagi pelajar yang mengikuti program kerjasama antara Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pendidikan, dan meliputi para pelajar yang terdiri daripada lima buah institusi pendidikan tinggi termasuk IBTE. Tujuan anugerah ini diperkenalkan adalah untuk mendorong dan menggalakkan lebih ramai lagi pelajar tempatan untuk terlibat sama khususnya dalam kerjasama dua hala, di bawah rangka kerja ‘Belt and Road Initiative’. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyuntik semangat inspirasi belia berbakat yang mempunyai prestasi cemerlang, sentiasa bergiat aktif dalam menyumbang pembangunan negara serta menggalakkan kerjasama praktikal kedua-dua buah negara.

Majlis Konvokesyen IBTE Kali Ke-31 diteruskan lagi pada sebelah petang  dengan penyampaian sijil-sijil kepada para graduan seramai 798 orang dari peringkat NTec dan ISQ, dan kemudian diikuti dengan penyampaian Anugerah Academic Excellence kepada empat orang penerima.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan bagi sesi petang ialah Yang Mulia Awang Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan.

Turut hadir pada majlis konvokesyen bagi kedua-dua sesi pagi dan petang ialah ahli-ahli Lembaga Pengelola IBTE serta para ibu bapa dan ahli keluarga para graduan yang diraikan.

Ask us anything