MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA IBTE DAN PERTUBUHAN UKUR JURUTERA & ARKITEK (PUJA)

14 MAC 2024 – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) telah menandatangani memorandum persefahaman hari ini bertempat di Longhouse Training Restaurant, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan juga menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman adalah Yang Mulia Dr. Hj. Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan.

Majlis dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat, dan diikuti dengan ucapan daripada Yang Mulia Dr. Hj Md Zamri bin Hj Sabli, Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Mulia Haji Mohd Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman, Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei.

Majlis diteruskan lagi dengan penandatanganan memorandum persefahaman antara IBTE dan PUJA dan diikuti dengan penyerahan pelan strategik PUJA kepada IBTE.

Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek, Negara Brunei Darussalam (PUJA) berhasrat untuk menjalin kerjasama bersama dengan IBTE khususnya di dalam pendidikan, penyelidikan dan penyediaan program latihan yang menumpukan kepada bidang Juruukur, Kejuruteraan dan Arkitek.

Melalui MOU ini, kedua belah pihak akan melaksanakan kerjasama seperti berikut:

 1.     Kerjasama Latihan (Training Collboration)

Kedua belah pihak bersetuju untuk memberikan kerjasama di dalam penyediaan program latihan sama ada bagi pelajar, tenaga pengajar atau wakil-wakil kedua belah pihak di dalam latihan yang bersesuaian yang akan dipersetujui secara bertulis.

2.     Penubuhan PUJA IBTE Student Chapter

Kedua belah pihak akan menubuhkan PUJA IBTE Student Chapter iaitu satu pertubuhan khusus bagi pelajar-pelajar IBTE bagi mendapatkan peluang secara profesional dalam pembelajaran dan membangun kemahiran kepimpinan, menjalinkan rangkaian kerjasama dan peluang tunjuk ajar (mentoring opportunities).

3.     Keahlian Pelajar

Menggalakkan pelajar-pelajar IBTE untuk mendaftar sebagai ahli bagi PUJA Student Affiliate Member dan pendaftaran keahlian dan bayaran tahunan adalah dikecualikan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

4.    IBTE Corporate Membership

Tenaga pengajar IBTE boleh mendaftar sebagai ahli bagi PUJA Corporate Membership mengikut syarat yang diperuntukkan dan kebenaran oleh pihak PUJA secara bertulis.

5.     Kerjasama di dalam bidang lain MOU ini juga membuka peluang bagi kerjasama dua hala di dalam bidang lain yang akan dipersetujui secara bertulis.

Ask us anything